2/13/08

Rokok punca mati muda

Rokok punca mati muda

Oleh Nasron Sira Rahim
nasron@bharian.com.my

Kajian meramalkan lebih 36 bilion penduduk dunia mati muda akibat penyakit kronik menjelang 2015

PENYAKIT yang ‘menyerang’ manusia ialah penyakit berjangkit atau wabak seperti tibi, malaria atau HIV manakala penyakit berpunca daripada manusia sendiri seperti diabetes, penyakit jantung, kanser dan strok.

Akan tetapi, daripada semua jenis penyakit yang berpunca atau dihasilkan manusia, ada beberapa penyakit serius yang diklasifikasikan sebagai ‘kronik’ berikutan ia mencetuskan hampir dua kali ganda jumlah kematian di seluruh dunia berbanding punca kematian lain.


Kumpulan penyakit yang dikenali sebagai ‘penyakit kronik tidak berjangkit’ (CNCD) itu seterusnya mencetuskan kebimbangan di kalangan saintis serta pakar perubatan sehingga menyebabkan pelbagai usaha dan penyelidikan dilakukan bagi mengatasi penularannya.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara penyakit yang termasuk dalam kategori CNCD adalah penyakit berkaitan kardiovaskular, diabetes jenis kedua, penyakit kronik berkaitan respiratori selain beberapa jenis kanser.

Pengarah Institut Antarabangsa Berkaitan Kesihatan Global, Universiti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNU-IIGH), Tan Sri Mohamed Salleh Mohamed Yasin, berkata CNCD amat dibimbangi kerana menjadi punca kira-kira 60 peratus kematian di seluruh dunia.

“Lebih membimbangkan adalah penyakit kronik CNCD turut mencatatkan 44 peratus kematian terhadap pesakit yang masih muda; jumlah kematian keseluruhan pula dua kali ganda membabitkan penyakit berjangkit termasuk HIV/AIDS, tibi dan malaria,” katanya.

Beliau berkata, dari sudut ekonomi pula, CNCD turut memberi impak negatif yang dahsyat terhadap produktiviti sesebuah negara. Dianggarkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, China, India dan United Kingdom, masing-masing akan kerugian AS$558 bilion, AS$237 bilion dan AS$33 bilion akibat kematian rakyatnya yang disebabkan penyakit kronik berkenaan.

“Tanpa ada usaha untuk menghentikan penularan CNCD, dianggarkan 388 bilion penduduk seluruh dunia akan mati akibat penyakit ini dalam tempoh 10 tahun, malah sejumlah 36 bilion penduduk mati pada usia muda menjelang 2015,” katanya yang dilantik menjadi pengarah pertama bagi UNU-IIGH sejak institut itu ditubuhkan pada 1 Mac lalu.

Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kes CNCD adalah purata jangka hayat penduduk yang lebih panjang, penggunaan tembakau atau merokok, kurangnya aktiviti jasmani dan pemilihan makanan tidak sihat.

“Sebenarnya kebanyakan punca penularan penyakit CNCD ini boleh dicegah kerana ia membabitkan gaya hidup seseorang. Sebanyak 80 peratus kematian pada usia muda akibat penyakit jantung, strok atau diabetes boleh dielakkan dengan mengamalkan cara hidup sihat selain pengetahuan mengenai aspek farmaseutikal,” katanya.

Beliau berkata, ada penyakit kronik CNCD yang berpunca daripada merokok, justeru dengan menghentikan tabiat merokok, ia secara tidak langsung mampu mengatasi penularan penyakit berkenaan.

“Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Kementerian Kesihatan yang diketuai Profesor Dr Syed Mohamed Aljunid mendapati seramai 93,306 penduduk di negara ini meninggal dunia akibat penyakit yang berpunca daripada merokok dari 2004 hingga 2007.

“Malah setiap tahun, lebih 33,000 kes baru dicatatkan bagi penyakit jantung, kanser paru-paru (hampir 3,000) dan penyakit semput kronik (kira-kira 12,800) yang berpunca daripada merokok,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga membelanjakan sekitar RM3.4 bilion setahun bagi merawat ketiga-tiga penyakit terbabit dan jumlah sebanyak itu pasti dapat disalurkan untuk manfaat lain yang lebih baik jika tabiat merokok dapat dihenti atau dikurangkan.

“Akan tetapi untuk menghentikan tabiat merokok adalah satu cabaran besar di negara kita. Kajian mendapati 49 peratus daripada lelaki dewasa (berusia 18 tahun ke atas) merokok malah wanita pula sebanyak lima peratus.

“Kajian mendapati jumlah perokok wanita meningkat berbanding 20 tahun lalu. Dulu hanya 0.5 peratus tetapi kini sudah lima peratus. Puncanya mungkin disebabkan lebih ramai wanita muda sekarang yang berkerjaya, profesional dan pengaruh iklan syarikat rokok,” katanya.

Kesan buruk rokok sebagai satu daripada pencetus CNCD menyebabkan ada beberapa negara yang mengambil langkah ketat terhadap barang berkenaan bagi mengurangkan jumlah perokok di negara mereka.

“Kanada misalnya cuba mengurangkan jumlah perokok di negara mereka dengan menaikkan harga rokok dengan kadar yang tinggi, melarang menjual rokok secara batang selain memperbanyakkan kawasan larangan merokok,” katanya.

Beliau berkata, aspek pencegahan penyakit CNCD dapat dijayakan menerusi integrasi pelbagai pihak membabitkan bidang sains, teknologi, polisi dan sosial; daripada pemerintah sehingga ke rakyat bawahan.

Sehubungan itu, Mohamed Salleh berkata, pihaknya di UNU-IIGH akan melakukan pelbagai penyelidikan dalam bidang kesihatan global antaranya kualiti dalam sistem penjagaan kesihatan; kajian penyakit dan kaedah kawalan, pembangunan teknologi maklumat dalam kesihatan seterusnya kesan perubahan iklim dan impak globalisasi terhadap kesihatan.

0 comments: